Selasa, 15 Oktober 2019 | 9:32pm
Keadaan kereta Honda City dipandu Tee Wen Qian terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Kilometer (KM) 5 Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Sungai Rambai. - NSTP/Ihsan Polis
Keadaan kereta Honda City dipandu Tee Wen Qian terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Kilometer (KM) 5 Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Sungai Rambai. - NSTP/Ihsan Polis

Pelajar maut kereta dipandu rakan terbabas

JASIN: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, di sini, maut selepas kereta dipandu rakannya terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam semalam itu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu, Teck Yong Peng, 13, maut di tempat kejadian selepas kereta dipandu Tee Wen Qian, 26, terbabas sebelum melanggar tiang lampu.

Seorang lagi penumpang yang juga abang kepada mangsa, Yong Le, 15, dilaporkan mengalami patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata siasatan awal polis mendapati kereta dipandu Wen Qian yang dalam perjalanan dari Muar ke Melaka dipercayai hilang kawalan dan terbabas mengenai tiang lampu jalan, sebelum kenderaan itu memasuki ke laluan bertentangan.

“Dalam kemalangan ini, pemandu didapati cedera di dada. Seorang penumpang patah tangan kanan, manakala seorang lagi penumpang yang juga pelajar Tingkatan Satu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Penumpang yang maut dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat, manakala pemandu serta seorang lagi penumpang dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keadaan jalan ketika basah tetapi cuaca dalam keadaan baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X