Ahad, 13 Oktober 2019 | 11:50pm
DINDING tembok sebuah rumah rosak dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan gara-gara pemandunya memandu dalam keadaan mabuk. - Foto ihsan polis

Rempuh tembok rumah gara-gara mabuk

bhnews@bh.com.my

PETALING JAYA: Gara-gara memandu dalam keadaan mabuk, seorang lelaki ditahan selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar tembok sebuah rumah di Jalan SS 25/14, Taman Mewah, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, pemandu berusia 34 tahun yang memandu PROTON Waja dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tembok kediaman milik seorang bekas pensyarah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata akibat rempuhan itu, dinding tembok, pagar besi dan batang paip di hadapan rumah itu rosak, namun penghuni dan pemandu berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis peronda ke lokasi dan mendapati pemandu kereta berada di tepi jalan bersama pemilik rumah.

“Pemandu terbabit dilihat dalam keadaan tidak normal dan dia kemudian dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, polis kemudian menjalankan ujian pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) ke atas lelaki terbabit untuk mengesahkan kandungan alkohol.

“Hasil ujian pernafasan itu mendapati paras alkohol dalam tubuh pemandu itu melebihi paras dibenarkan (80 miligram/100 mililiter). Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X