Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:04pm
KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (dua kiri) menunjukkan alat mencuri kereta pada sidang media Tangkapan dan Rampasan Kes Curi Kenderaan Mewah di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto NSTP/Roslin Mat Tahir

Polis lumpuhkan sindiket curi kenderaan mewah

SHAH ALAM: Polis melumpuhkan sindiket curi kenderaan mewah selepas penahanan enam lelaki tempatan dan dua wanita warga asing pertengahan September lalu.

Sindiket ini dipercayai aktif melakukan jenayah itu dalam tempoh tiga bulan lalu.

Semua anggota sindiket itu yang berusia antara 36 tahun hingga 52 tahun ditahan di lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang menerusi Ops Lejang Mewah TODA.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, susulan daripada tangkapan itu, polis merampas tiga Toyota Vellfire, dan masing-masing sebuah Toyota Alphard, Toyota Camry, Toyota Hilux, Toyota Harrier serta Honda CRV dengan nilai rampasan dianggarkan RM2 juta.

“Selain itu, polis merampas 29 alat kawalan jauh, 25 keping cukai jalan palsu, satu unit ‘jammer signal’, satu unit alat pengatur cara kunci pintar (smartkey programmer), Lonsdor K518S, tiga set kunci induk, satu unit komputer riba berserta pencetak, dan ‘thumbdrive’ untuk membuat cukai jalan palsu, sebatang kunci stereng dan pelbagai peralatan untuk mencuri kenderaan.

“Polis percaya barangan dibeli dalam atas talian kedai perkakasan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, kumpulan sindiket itu hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mencuri kenderaan mewah terbabit.

Modus operandi sindiket itu menggunakan kunci induk (master key) atau umpil lubang kunci dengan mesin gerudi untuk membuka pintu kenderaan, dan alat ‘smartkey programmer’ untuk membuat salinan program ke kotak komputer kenderaan yang hendak dicuri ke dalam alat itu.

“Kemudian akan disalin semula ke dalam alat kawalan jauh yang kosong untuk membolehkan kenderaan itu dihidupkan.

“Kenderaan curi itu dipercayai untuk pasaran luar negara kerana kenderaan mewah ini mendapat permintaan tinggi di sana,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini kesemua tertuduh masih dalam tahanan reman untuk siasatan, manakala dua wanita warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen.

“Pihak polis akan menjalankan pertuduhan dalam masa yang terdekat serta tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Noor Azam berkata, dengan penahanan itu juga, menjadikan jumlah tangkapan sebanyak 15 orang sejak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor menjalankan operasi bagi mengenalpasti sindiket yang terbabit dalam curi kenderaan mewah.

“Sejak Januari lalu sebanyak 80 kes kecurian kenderaan mewah dilaporkan.

“Sepanjang tahun ini hingga kini seramai 15 orang ditangkap membabitkan tiga sindiket dan 12 kenderaan mewah dirampas, termasuk Ops Lejang Mewah TODA ini,” katanya.

Berita Harian X