Rabu, 9 Oktober 2019 | 7:53pm
PEGAWAI Jabatan Imigresen mengawal Pati lelaki dan wanita Indonesia yang ditahan dalam Ops Sapu di tapak pembinaan taman rekreasi keluarga di Hulu Terengganu. - Foto Zaid Salim

Lari tinggalkan isteri elak dicekup Imigresen

HULU TERENGGANU: Seorang lelaki warga Indonesia nekad melarikan diri dengan meninggalkan isterinya bagi mengelak daripada dicekup Jabatan Imigresen Terengganu dalam serbuan di sebuah di tapak pembinaan di Taman Rekreasi Keluarga di Kuala Berang, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 40 tahun terbabit gagal selepas berjaya ditahan ditahan anggota imigresen yang tangkas mematahkan cubaan suspek meloloskan diri.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 11.15 pagi oleh Unit Risikan Jabatan Imigresen Terengganu, bertindak atas aduan awam.

Ketika serbuan, lelaki Indonesia terbabit bersama isterinya berusia 38 tahun, yang juga warga Indonesia sedang bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki terbabit bertindak melarikan diri selepas dikejutkan dengan kehadiran penguatkuasa JIM sebelum dikejar dan ditahan anggota di sekitar kawasan tapak pembinaan itu.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, pasangan suami isteri terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Katanya, pasangan suami isteri terbabit adalah antara 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan dalam operasi bersepadu itu.

Katanya, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh dilakukan dengan mensasarkan tapak pembinaan, kedai menjual perabut, kedai makan dan kedai runcit, bermula jam 9 pagi hingga jam 4 petang.

“Dalam operasi selama lapan jam itu kita memeriksa seramai 78 warga asing dan seramai 17 daripada mereka ditahan kerana melanggar akta dan peraturan Imigresen.

“Kesemua 17 PATI ditahan masing-masing membabitkan tujuh warga Bangladesh, Indonesia (lima), Thailand (empat) dan seorang warga Myanmar berusia antara 17 hingga 50 tahun,” katanya.

Rahim berkata, kesemua PATI terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah.

“Lapan daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa dibenarkan, dua orang disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama dan tujuh lagi disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat permit,” katanya.

Berita Harian X