Rabu, 9 Oktober 2019 | 7:36pm
KOMANDER AKSEM Kedah, Abdul Latif Abd Rahman menunjukkan slop rokok yang mempunyai logo cukai palsu yang dirampas dalam kenderaan yang dinaiki dari dua lelaki di kawasan Simpang Kuala. - Foto Zuliaty Zulkiffli

AKSEM rampas rokok seludup bernilai RM430,000

bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Lebih 1,700 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM430,000 dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah di Simpang Kuala, di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.10 petang itu, turut ditahan dua lelaki tempatan yang membawa barangan seludup berkenaan menggunakan van.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abd Rahman, berkata ketika ditahan dua suspek berusia 30-an itu memberi helah dengan memaklumkan rokok berkenaan sudah dibayar cukai berdasarkan label palsu pada kotak rokok.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat label stem pada luar karton kotak rokok berkenaan yang kononnya sudah dibayar cukai.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan menggunakan alat pengimbas dari pihak Kastam mendapati label stem itu adalah palsu yang bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit, di sini.

Abdul Latif berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan berdasarkan sisatan awal kedua lelaki itu hanya menerima upah dari pihak tertentu.

Beliau berkata, harga sekotak kecil rokok berkenaan adalah RM5 dan dipercayai dijual untuk pasaran setempat, selain mendapat permintaan tinggi di kawasan kampung.

“Nilai rampasan keseluruhan rokok termasuk cukai adalah RM430,000 dan ia akan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memgangkut/membawa dan memindahkan barang belum lulus Kastam,” katanya.

Berita Harian X