Rabu, 9 Oktober 2019 | 6:22pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Najib tunjuk reaksi biasa bila tahu Sultan Mizan murka isu bon

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menunjukkan ekspresi biasa apabila mendapat tahu Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin murka berhubung bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini mengenai reaksi Najib ketika memaklumkan kepada bekas perdana menteri terbabit berhubung perkara itu di rumahnya di Langgak Duta pada 22 Mei 2009.

Saksi pendakwaan kesembilan itu juga memaklumkan sebelum itu pada hari yang sama, beliau mengadap Sultan Mizan di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee sama ada Najib kelihatan ‘bingung’ apabila diberitahu mengenai reaksi Sultan Mizan, saksi menjawab; “Raut wajahnya biasa saja, saya tidak ingat dia nampak bingung pun.”

Shahrol Azral bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa ekspresi Najib itu menunjukkan bahawa beliau (Najib) tidak tahu mengapa Sultan Mizan murka.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Shahrol Azral memberitahu Mahkamah Tinggi, Sultan Mizan murka dengan bon IMTN dan mengarahkannya digantung serta terbitannya ditangguhkan sehingga syarat dalam resolusi dipatuhi.

Katanya, beliau ketika itu mengadap Sultan Mizan di Istana Terengganu bersama-sama Tan Sri Ismee Ismail (bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB) selepas dititahkan berbuat demikian.

Berita Harian X