Ahad, 6 Oktober 2019 | 9:02pm
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bersalaman dengan pegawai-pegawai polis pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. - Foto BERNAMA

Tiga agensi aktif siasat Mykad palsu

JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) aktif melakukan siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ia susulan arahan kerajaan yang mahu kegiatan salah itu dihapuskan menerusi siasatan menyeluruh.

“JSJ Bukit Aman, JPN dan JIM aktif berkomunikasi, berjumpa untuk mencungkil satu persatu maklumat mengenai penjualan MyKad kepada warga asing.

“Arahan dapat daripada kerajaan supaya perkara ini (kes penjualan MyKad kepada warga asing) dan sebarang kemusykilan yang timbul berhubung perkara ini, dihapuskan serta-merta menerusi siasatan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shafie Ismail.

Pada 19 Ogos lalu, 20 individu termasuk pegawai dan kakitangan JPN Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bulan lalu dilaporkan menyifatkan penjualan dokumen MyKad dan sijil kelahiran kepada warga asing itu sebagai pengkhianatan besar terhadap negara dan mengarahkan siasatan rapi dilakukan.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid, berkata sehingga kini tiada tangkapan baharu membabitkan warga asing berhubung isu itu, namun perbincangan tiga agensi penting sedang rancak dilaksanakan.

“Pasukan JSJ Bukit Aman sentiasa mendapat kerjasama JPN dan JIM dan mereka sedang teliti satu persatu kad pengenalan (MyKad) yang diragui.

“Ada ‘karekteristik’ tiga agensi berkenaan (JSJ, JPN dan JIM) mungkin dapat ‘zero-in’. Sekiranya mereka nak semak 33 juta rakyat Malaysia memang tak cukup, kecuali pakai ‘super komputer’ nak kesan.

“Tetapi JPN dan JIM ada ‘tanda’ atau pengetahuan mengesan individu terbabit yang mereka syak,” katanya sambil menambah siasatan berterusan penting supaya semua keraguan dihapuskan dan tidak timbul syak atau dakwaan bahawa berlaku penjualan MyKad dan sijil kelahiran serta isu kewarganegaraan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, beliau memberi ‘lampu hijau’ kepada pengurusan tertinggi di peringkat negeri supaya bekerjasama dengan media dan berharap pegawai peringkat atasan pasukan bekerjasama dalam membantu menyalurkan maklumat diperlukan media.

“Saya bagi 'blank cheque' atau cek kosong kepada semua Ketua Polis, Pengarah dan Komander (Ketua Polis Daerah dan Ketua Jabatan) di bawah sentiasa berinteraksi dengan media.

“Mereka perlu berkongsi apa juga (kes) dan saya bagi pas laluan seumur hidup untuk mereka,” katanya sambil menambah anggotanya akan menjawab soalan diajukan selagi tidak prejudis atau subjudis.

Beliau berkata, tidak memberi makna kepada pasukan itu untuk 'sombong' dengan media kerana mesej tidak akan sampai kepada sasaran jika perbuatan itu diamalkan.

Berita Harian X