Rabu, 2 Oktober 2019 | 10:41am
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid pada Sidang Media Harian yang diadakan di Bukit Aman. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kematian Adib: Tiada keterangan jelas kaitkan 12 individu

KUALA LUMPUR: Tiada keterangan jelas diperoleh untuk mengaitkan 12 individu yang pernah ditahan sebelum ini dengan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan terhadap kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sejak kejadian itu dilaporkan November tahun lalu, katanya, polis menahan 12 individu berhubung insiden berkenaan.

“Mereka yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan polis, namun jika ada keterangan baharu yang menyokong (pembabitan) kita akan panggil mereka semula,” katanya pada sidang media harian di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada empat individu yang ditahan berkaitan kematian Muhammad Adib sebelum ini masih berada dalam negara atau sebaliknya.

Mior Faridalathrash berkata, polis tidak melihat isu bagi individu terbabit melarikan diri ke luar negara kerana siasatan sudah dijalankan terhadap mereka.

“Siasatan menunjukkan tiada keterangan jelas untuk mengaitkan 12 individu ini dengan kejadian hari berkenaan (insiden rusuhan).

“Justeru, tiada isu mereka mahu lari ke luar negara atau sebagainya, namun siasatan tetap diteruskan seperti diputuskan Mahkamah Koroner yang mengatakan dua orang atau lebih terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Berita Harian X