Isnin, 30 September 2019 | 11:12am

Kes amuk kilang: Polis panggil Naib Ketua Puteri UMNO

KUALA LUMPUR: Polis akan rakam kenyataan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, yang mendakwa lelaki mengamuk yang ditembak mati di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, minggu lalu sebagai syahid.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya sudah menerima satu laporan polis daripada ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, kelmarin.

“Susulan laporan polis itu, kita telah memanggil Nurul Amal ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada pegawai yang menjalankan siasatan hari ini.

“Dia dijangka tiba untuk memberikan keterangan berhubung perkara itu jam 10 pagi hari ini (tadi),” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, pagi tadi.

Dalam perkembangan sama tiga individu yang ditahan pada 26 September lalu kerana dipercayai memuatnaik kenyataan berbaur perkauman di media sosial akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Kes di siasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kejadian jam 4.45 petang, 23 September lalu, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di kilang terbabit mengamuk sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera, tetapi berada dalam keadaan stabil.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. Gambar kiri, Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. Gambar kiri, Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Berita Harian X