Isnin, 30 September 2019 | 12:00am
Polis merampas pisau yang digunakan menikam lelaki di kawasan padang Taman Prima, Selayang, di sini, hari ini.
Polis merampas pisau yang digunakan menikam lelaki di kawasan padang Taman Prima, Selayang, di sini, hari ini.

Lelaki maut kena tikam ketika pertengkaran

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut akibat ditikam dalam satu pertengkaran membabitkan dua kumpulan di sebuah kawasan padang di Taman Prima Selayang dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa bersama beberapa rakan dikatakan berada di padang berkenaan sebelum didatangi suspek serta beberapa lelaki lain sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata pertengkaran itu dikatakan berpunca daripada salah faham yang berlaku antara mangsa dan suspek.

“Ketika mereka sedang bertengkar mulut, suspek terus mengeluarkan sebilah pisau dan menikam leher mangsa, menyebabkan mangsa rebah serta merta.

“Sebaik menikam mangsa, suspek cuba melarikan diri, namun dapat ditangkap oleh orang awam, bagaimanapun rakan-rakannya berjaya melarikan diri.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Selayang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan pada jam 10.15 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, suspek berusia 27 tahun yang ditangkap orang awam kemudian diserahkan kepada anggota polis peronda (MPV) yang bergegas ke lokasi sejurus mendapat makluman kejadian itu pada jam 7.27 pagi.

“Kita turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan semakan mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau kesalahan dadah dan satu rekod lampau kesalahan jenayah.

“Mangsa yang berusia 23 tahun turut dikesan mempunyai dua rekod lampau kesalahan dadah dan dua rekod lampau kesalahan jenayah,” katanya.

Katanya lagi, permohonan reman akan dibuat ke atas suspek esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Berita Harian X