Jumaat, 27 September 2019 | 3:58pm

Operator kilang didakwa bunuh bekas isteri

PETALING JAYA: Seorang operator kilang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh bekas isterinya, yang mayatnya ditemui dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup dengan timbunan bantal di sebuah pangsapuri di Prima Damansara.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zulkifli Joned, 40, yang berkemeja merah jambu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Terdahulu, tertuduh hanya menjawab “faham” ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan dan tunduk sepanjang prosiding yang bermula kira-kira jam 11 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zulkifli didakwa membunuh Nor Hidayah Ahmad, 30, di Pangsa Rampai Idaman, Jalan PJU 10/9, Prima Damansara di sini, antara jam 8.53 hingga 11.20 pagi, pada 10 September lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid, memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan forensik.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 November ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, Mayat wanita berusia 30 tahun itu ditemukan oleh bapanya yang datang melawat mangsa, sebelum terhidu bau busuk yang membawa kepada penemuan mayat anaknya di atas katil.

Berita Harian X