Khamis, 26 September 2019 | 6:48pm
Anggota polis mengiringi enam suspek kes sindiket MyKad palsu di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini. - NSTP/Mikail Ong

Kes jual Mykad dan sijil kelahiran dipindah ke Mahkamah Tinggi

GEORGETOWN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan kes enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pulau Pinang, yang didakwa mengeluar dan menjual Mykad dan sijil kelahiran kepada warga asing, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan peguam yang mahu kes dihadapi semua tertuduh mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Keputusan dibuat Hakim Norsalha Hamzah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid selepas mendengar hujah kedua-dua pihak ketika pendengaran kes itu di dua Mahkamah Sesyen berasingan.

Ketika sebutan semula pada 18 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, namun peguam yang mewakili semua tertuduh sebulat suara membantah dan mahu perbicaraan kes itu dikekalkan di Mahkamah Sesyen.

Pada 12 September lalu, kesemua mereka yang berusia antara 34 hingga 66 tahun itu didakwa atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Datuk Lai Chin Wah, 56; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa antara dua dan tiga pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang mana perbuatan itu dilakukan antara Januari 2019 hingga Mac 2019.

Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran, manakala lima yang lain masing-masing dituduh menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama individu sama.

Lima daripada mereka kecuali Mohd Faizal Tan masing-masing didakwa antara dua dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama beberapa individu, antara Januari 2019 hingga Mei 2019.

Mohd Faizul turut didakwa atas lima lagi pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara September 2018 hingga 3 Mei 2019.

Sementara itu, peguam R S N Rayer memaklumkan kepada Norsalha yang beliau menarik diri daripada mewakili Chin Wah bagi semua pertuduhan yang dihadapi lelaki itu.

Rayer berkata, keputusan itu dibuat selepas mendakwa ada pihak tertentu termasuk parti politik mempersoalkan perlantikan beliau dalam kes terbabit berikutan statusnya sebagai Ahli Parlimen.

Norsalha kemudian membenarkan permohonan Rayer dan peguam R Sivah Nanthan mengambil alih tugas mewakili Chin Wah dalam semua kesnya.

Berita Harian X