Rabu, 25 September 2019 | 11:21am
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Hafiz Sohaimi

Minit Pemegang Saham dikeluarkan untuk lindungi Najib

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Minit Pemegang Saham yang ditandatangani bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 September 2009 sengaja dikeluarkan bagi melindungi beliau dari sebarang pertuduhan menyeleweng.

Ia seterusnya meletakkan tanggungjawab itu kepada Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang merujuk pada Minit Pemegang Saham atau ‘Minutes By Representative Of Holding Company Relating To Proceedings Of Subsidiary Company Pursuant’ itu, berkata ia dikeluarkan bagi meluluskan penurunan kuasa kepada Ahli Lembaga Pengarah TIA.

Shahrol Azral berkata, kuasa itu termasuk dalam menjalankan aktiviti transaksi pada jumlah yang besar seperti yang diperlukan oleh Seksyen 132C Akta Syarikat 1965 selaras dengan pertukaran hak milik syarikat TIA kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penurunan kuasa tidak merangkumi perkara membabitkan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB iaitu Aritkel 117 berhubung kuasa mutlak perdana menteri sebagai pelaksana dan pembuat keputusan.

Beliau berkata, dua hari selepas Minit Pemegang Saham dikeluarkan, satu mesyuarat lembaga pengarah diadakan bagi membincangkan mengenai penggunaan dana daripada bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk memasuki satu projek usahasama dengan PetroSaudi iaitu sebuah syarikat yang dimiliki oleh Putera Turki dan Tarek Obaid.

Saksi kesembilan pendakwaan itu juga percaya Minit Pemegang Saham itu ditandatangani oleh Najib atas nasihat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Berita Harian X