Selasa, 24 September 2019 | 8:38pm
Dalam kejadian 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang berpangkat Datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing. - Foto hiasan

Sindiket jual kad pengenalan mungkin wujud di negeri lain

GEORGETOWN: Bukan hanya di Pulau Pinang, aktiviti sindiket penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di negeri ini berkemungkinan turut berlaku di negeri lain.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, berkata pihaknya juga percaya sindiket berkenaan sudah lama beroperasi.

“Siasatan menyeluruh dan terperinci termasuk kemungkinan wujud pembabitan dalam beberapa peringkat di agensi berkenaan.

“Mungkin aktiviti ini sudah lama dilakukan dan ada beberapa lapisan dalam sindiket terbabit, sebab itu polis perlu menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Antarabangsa Kelima, di sini, hari ini.

Sehingga kini, empat individu masing-masing seorang wanita dan tiga lelaki yang terbabit dalam sindiket penjualan MyKad menjadi buruan polis dalam Op Biru fasa kedua yang dilancarkan, baru-baru ini.

Mereka diburu itu terdiri daripada seorang wanita yang masih berkhidmat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah negeri di utara, dua lelaki bekas kakitangan JPN dan seorang lelaki bergelar Datuk.

Dalam Op Biru fasa kedua itu, polis turut berjaya menahan seorang lelaki warga India yang didapati menggunakan MyKad yang diperoleh secara tidak sah.

Lelaki berusia 20-an ditahan di sebuah rumah di Nibong Tebal, semalam susulan risikan yang dilakukan polis.

Dalam kejadian 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang berpangkat Datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing.

Fasa pertama Ops Biru menahan 20 individu susulan pembongkaran seorang warga China yang cuba memohon pasport menggunakan MyKad sah di Jabatan Imigresen Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

Berita Harian X