Selasa, 24 September 2019 | 3:36pm
SHAHROL Azral (kiri) hadir pada perbicaraan bersambung bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi

Sultan Mizan murka dengan bon dikeluarkan TIA - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, murka dengan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) dan mengarahkannya digantung dan terbitannya ditangguhkan sehingga syarat dalam resolusi dipatuhi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau dimaklumkan oleh Istana Terengganu pada 22 Mei 2009, Tuanku Mizan yang ketika itu Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) menitahkan beliau hadir ke Istana bersama-sama Tan Sri Ismee Ismail (bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB).

“Sebaik saja tiba di Istana Terengganu, kami dibawa ke bilik mesyuarat, kemudian disusuli oleh Tuanku Mizan dan kekanda Sultan, Tengku Datuk Rahimah Puteri Ibni Almarhum Sultan Mahmud.

“Baginda menunjukkan dokumen resolusi yang sudah ditandatangani Tengku Rahimah. ..Seingat saya, Baginda bertitah “Please sign this resolution, you can read it if you want.

“Saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena malah cara Tuanku Mizan kelihatan seperti baginda murka... Saya memandang Tan Sri Ismee, dia langsung tidak berkata apa-apa cuma tertanya-tanya kenapa Tuanku murka dan meminta saya menandatangani resolusi itu,” katanya.

“Selepas membaca resolusi itu, Shahrol Azral berkata, beliau mendapati dokumen membabitkan isu IMTN yang diarahkan untuk digantung sementara terbitan IMTN ditangguhkan sehingga syarat dalam resolusi dipatuhi,” katanya

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau terkejut kerana sebelum ini, ahli perniagaan, Jho Low memaklumkan kepadanya bahawa Tuanku Mizan tiada halangan untuk meneruskan terbitan IMTN itu.

Beliau berkata, ia adalah kali pertama beliau mendengar daripada pihak Tuanku Mizan bahawa Terengganu meletakkan syarat terhadap terbitan IMTN.

Ini kerana katanya, sebelum itu Jho Low sebagai penasihat dan fasilitator kepada Tuanku Mizan dan Datuk Seri Najib Razak tidak pernah memaklumkan mengenai syarat berkenaan.

Sehubungan itu, saksi berkata, mereka menandatangani resolusi itu atas titah Sultan tanpa sebarang bantahan.

Katanya, beliau dan Ismee tidak diberi salinan resolusi itu dan terus diminta meninggalkan Istana Terengganu dengan segera.

“Kami tidak diberikan peluang untuk menjelaskan status terkini IMTN yang sudah dimeterai melalui perjanjian yang sah.

“Semasa saya di Istana Terengganu itu, Tuanku Mizan ada menggunakan frasa “unsavoury character” tetapi saya tidak pasti frasa ini merujuk kepada siapa.

“Saya tidak tahu punca sebenar perbalahan antara pemegang saham TIA pada masa itu,” katanya.

Pada prosiding minggu lalu, saksi kelapan iaitu bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata Sultan Mizan menganggap Jho Low sebagai watak yang tidak menyenangkan berhubung peranannya dalam penubuhan TIA.

Berita Harian X