Selasa, 24 September 2019 | 3:21pm
SHAHROL Azral (dua kanan) hadir pada perbicaraan bersambung bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Jho Low pinjamkan RM70,000 kepada TIA

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, meminjamkan wang RM70,000 kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) bertujuan menaikkan modal berbayar syarikat bagi mendapatkan Jaminan Kerajaan.

Jaminan kerajaan berkenaan diperlukan bagi membolehkan TIA menerbitkan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Shahrol Azral berkata, beliau memaklumkan kepada Jho Low bahawa TIA dalam keadaan keperluan mendesak bagi mendapatkan wang itu dan kemudian beliau dapati jumlah itu dimasukkan ke dalam akaun miliknya.

“Saya kemudian memberitahunya mahu membayar kembali duit terbabit tetapi Jho Low berkata ‘later, later..’

“Saya berhenti bertanya dan menggunakan wang itu untuk tujuan kebajikan.

“Wang itu antaranya digunakan untuk menaja anak yatim menonton pertunjukan ‘Upin dan Ipin’ di Istana Budaya,” katanya.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Jho Low dan Pengarah Eksekutif TIA, Casey Tang, menguruskan semua dokumen berhubung terbitan bon (IMTN) bernilai RM5 bilion.

Shahrol Azral dalam keterangannya memberitahu bahawa kedua-dua mereka berurusan terus dengan AmInvestment Bank yang menjadi bank utama dalam penerbitan bon itu.

Sementara itu, Shahrol Azral memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau memaklumkan kepada Jho Low sebaik menerima maklum balas daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung status Jaminan Kerajaan bagi bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA)

Shahrol Azral berkata, tujuannya memberitahu Jho Low berikutan ahli perniagaan itu adalah penasihat TIA.

Beliau berkata, Jho Low juga adalah pemudahcara antara TIA dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, sebagai CEO dan Pengarah TIA, beliau menggunakan budi bicara dan kuasa eksekutif bersandarkan kepada keputusan sebelum ini dan juga arahan serta kehendak daripada pemegang saham melalui Jho Low sebagai penasihat TIA.

“Oleh itu, saya meneruskan untuk mengeluarkan resolusi ahli lembaga pengarah (BOD) bagi mengesahkan bahawa IMTN melalui institusi bank tempatan akan diteruskan ke peringkat selanjutnya iaitu menandatangani dokumen perjanjian.

“Saya diberikan kuasa oleh BOD untuk saya dan Tan Sri Ismee Ismail menandatangani kesemua dokumen membabitkan IMTN termasuk perjanjian,” katanya.

Ismee adalah bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd yang pernah dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan SRC sebelum ini.

Saksi berkata, pada resolusi BOD bertarikh 13 Mei 2009 iaitu resolusi keputusan untuk meneruskan program IMTN ini adalah berdasarkan kronologi sejak awal program itu dibincangkan termasuk maklum balas dan desakan untuk mempercepatkan IMTN oleh Jho Low yang mewakili pemegang saham.

Katanya, beliau dan Ismee menandatangani dokumen bertarikh 13 Mei 2009 dan selepas resolusi dibuat, Jho Low memaklumkan bahawa Tuanku Mizan menitahkan BOD TIA untuk melantik adinda Baginda, Tengku Datuk Rahimah Puteri al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah sebagai pengarah TIA bagi mewakili Terengganu.

“Ia bertujuan untuk memastikan perjanjian IMTN ini tidak membelakangkan kepentingan Negeri Terengganu kerana tujuan asal penubuhan TIA sebagai pemangkin pembangunan Terengganu dan ‘sovereign wealth fund Terengganu’. Saya dan Tan Sri Ismee yang mengeluarkan resolusi terbabit,” katanya.

Berita Harian X