Sabtu, 21 September 2019 | 6:10pm
Suspek disambung reman enam hari lagi bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berbungkus dalam selimut dalam pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Reman suspek kes bunuh wanita dalam selimut disambung

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang disyaki terbabit kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berbungkus dalam selimut dalam pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya, Rabu minggu lalu, disambung reman enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek berusia 40 tahun itu disambung reman mulai esok sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Tempoh reman seorang suspek lelaki disambung lagi enam hari bagi membolehkan polis meneruskan siasatan kes berkenaan. Tahanan reman bermula esok hingga Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahad lalu, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan selepas menyerah diri pada jam 1.35 pagi, dia kemudian direman selama seminggu dan tamat hari ini.

Pada 11 September lalu, BH melaporkan seorang ibu tunggal anak satu ditemui mati dalam keadaan mayatnya dibungkus dengan selimut tebal di Pangsapuri Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya.

Kejadian yang menimpa wanita itu disedari oleh bapanya yang mula mengesyaki sesuatu apabila terhidu bau busuk, sebaik saja memasuki rumah sewa anaknya itu sebelum melaporkan kepada polis.

Hasil bedah siasat polis mendapati wanita itu dipercayai mati akibat sesak nafas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X