Jumaat, 20 September 2019 | 3:55pm
AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama isteri, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama isteri, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Perbicaraan kes rasuah Bung Moktar, isteri bermula Januari 2020

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menetapkan perbicaraan kes rasuah dihadapi Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, bermula Januari tahun depan.

Hakim Rozina Ayob menetapkan 23 hari untuk perbicaraan kes bermula 2, 3, 10, 17, 24, 29, dan 30 Januari 2020.

Tarikh lain ditetapkan pada 7, 14 dan 21 Februari; 16 hingga 20 Mac; 23 hingga 26 Mac; 30 dan 31 Mac serta disambung pada 10 dan 17 April.

Pendakwaan juga perlu menyerahkan semua dokumen dan penyata saksi kepada pihak pembelaan selewat-lewatnya pada pertengahan Disember depan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai, bagaimanapun memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua dokumen berkaitan sudah diserahkan kepada pembelaan.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata, pertuduhan dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan itu didaftarkan di Mahkamah Sesyen.

Pasangan suami isteri itu didakwa atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA ketika itu, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai RM2.2 juta, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati, No 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM262,500, daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari 19 Jun 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang juga seorang pelakon pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM, dan boleh dihukum bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Allan turut memaklumkan bahawa seramai 30 saksi akan dipanggil dalam perbicaraan berkenaan nanti.

Berita Harian X