Jumaat, 20 September 2019 | 2:45pm

Lelaki warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

BATU GAJAH: Seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, 2 September lalu.

Tertuduh, Soo Weng Lai,32, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Phyoe Phyoe, 22, di rumah No 9A, Tingkat Laluan Sri Pengkalan, di sini, dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusof menetapkan 14 November ini untuk kes itu disebut semula bagi melantik jurubahasa disebabkan tertuduh tidak memahami bahasa Melayu dan Inggeris.

Akhbar pada 3 September lalu melaporkan, seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman di dada kiri dipercayai dilakukan rakan sebiliknya di Laluan Sri Pengkalan, di sini.

Difahamkan, mangsa yang bekerja di sebuah kedai perabot dipercayai bertengkar dengan suspek yang juga rakan sebiliknya dan pergaduhan itu didengari orang awam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, polis menemui mayat mangsa berpakaian lengkap dalam keadaan terbaring di bilik dengan kecederaan di dada kiri dipercayai ditikam.

SEORANG lelaki warga Myanmar, Soo Weng Lai didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, 2 September lalu. NSTP/Muhaizan Yahya
SEORANG lelaki warga Myanmar, Soo Weng Lai didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, 2 September lalu. NSTP/Muhaizan Yahya
Berita Harian X