Jumaat, 20 September 2019 | 1:14pm

Doktor mengaku tidak bersalah pukul bekas isteri

SHAH ALAM: Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya yang juga seorang doktor pada 4 September lalu.

Tertuduh, Dr Syed Ariff Syed Abdul Rahman, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian kiri atas kepala Dr Siti Nur Hidayah Abd Rahim, 34, menggunakan telefon bimbit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan MJ Auto (U5) Sdn Bhd, Jalan Utarid U5/24 40150, Shah Alam, pada jam 12.15 tengah hari 4 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah, memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghantar Dr Syed Ariff ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, bagi membolehkan pemeriksaan psikiatri dijalankan.

Peguam tertuduh, Adenan Ismail, bagaimanapun memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya pernah menjalani pemeriksaan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk masalah sama.

Beliau berkata, pihaknya sedang cuba mendapatkan laporan kesihatan daripada pihak PPUM.

Mohd Sabri kemudian membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dan menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari pula, Dr Syed Ariff didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan di dahi Abd Rahim Hashim, 65, di tempat dan pada tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sabreena kemudian membenarkan permohonan Nur Aifaa untuk memindahkan kes itu bagi dibicarakan bersama kes di Mahkamah Sesyen pada 18 Oktober nanti.

Media sebelum ini melaporkan seorang doktor memukul bekas isteri dan bekas bapa mentuanya sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan.

Kejadian di hadapan sebuah bengkel kereta itu mendapat perhatian ramai selepas klip video, dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tersebar melalui laman sosial.

Menurut laporan media, difahamkan, wanita itu dan bapanya dipukul berikutan bekas suami mangsa tidak berpuas hati berkaitan hak penjagaan anak yang masih dibicarakan di mahkamah.

DR Syed Ariff Syed Abdul Rahman, 34, didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isteri dan bekas bapa mentuanya pada 4 September lalu. NSTP/Sairien Nafis
Berita Harian X