Khamis, 19 September 2019 | 5:44pm
SEORANG pengendali kren dipercayai meninggal dunia ketika sedang melakukan kerja di tingkat 12 sebuah apartmen mewah di Danga Bay, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Pengendali kren meninggal ketika bertugas di tingkat 12

JOHOR BAHRU: Seorang pengendali kren dipercayai meninggal dunia ketika sedang melakukan kerja di tingkat 12 sebuah apartmen mewah di Danga Bay pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 pagi itu, mangsa Azman Arsat, 38, yang berasal dari FELDA Keratong 1, Pahang, ditemui berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika anggota bomba memanjat kren berkenaan untuk menyelamatkannya.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abd Aziz, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, berkata sebuah jentera bomba dan sebuah van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.50 pagi.

Khairul Azhar berkata bomba diminta untuk menurunkan mangsa yang didapati tidak sedarkan diri secara tiba-tiba ketika sedang mengendalikan kren di tingkat 12 apartmen mewah berkenaan.

“Saya bersama bersama tiga lagi anggota menaiki tangga kren berkenaan sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kabin kren.

“Pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan dan menurunkan mangsa berikutan kawasan kabin kren yang kecil lagi sempit dan kami terpaksa mengikat mangsa sepenuhnya pada pengusung untuk dibawa turun.

“Setibanya di tingkat bawah, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang turut hadir ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Azhar berkata jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

Berita Harian X