Rabu, 18 September 2019 | 5:29pm

Tukang jahit rugi lebih RM50,000 diperdaya penipu

JASIN: Seorang tukang jahit wanita dari Sungai Rambai, di sini, mengalami kerugian RM52,500 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai pejabat pos dan pegawai polis semalam.

Mangsa yang berusia 45 tahun itu menyedari dia berasa ditipu selepas memaklumkan barang kepunyaannya tidak dituntut dan dirampas oleh pihak kastam selain mengaitkan dirinya terbabit dengan pengubahan wang haram menerusi panggilan telefon, kepada rakannya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa mengadu, menerima panggilan daripada suspek dan disambungkan kepada pihak polis mengenai perkara itu.

“Pengadu menafikan perkara ini. Suspek kemudian meminta pengadu memindahkan wang ke akaun yang akan diberikan untuk tujuan pengauditan.

“Pengadu kemudian memasukkan secara berperingkat ke dalam nombor akaun Maybank dengan penama lelaki dan akaun BSN dengan penama lelaki lain, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM52,500, bermula April hingga awal September lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Arshad berkata, pengadu kemudian membuat laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya segala bentuk penipuan melalui telefon.

Berita Harian X