Ahad, 15 September 2019 | 10:56am
ANGGOTA polis mengusung mayat Nor Hidayah Ahmad, 28, dipercayai mati dibunuh di Rumah sewanya, Pangsapuri Rampai Idaman, Prima Damansara pada Rabu lalu. - Foto Aswadi Alias.

Lelaki ditahan bantu siasatan kes mayat janda dalam selimut

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan awal pagi ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang wanita yang dibungkus dalam selimut di Petaling Jaya, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek berusia 40 tahun ditahan selepas menyerah diri di IPD terbabit, pada jam 1.35 pagi.

“Suspek serah diri di IPD Tampin pada jam 1:35 pagi. Dia akan direman di Mahkamah Petaling Jaya, kira-kira jam 11 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 9 September lalu, seorang janda anak satu ditemui mati dalam keadaan mayatnya dibungkus dengan selimut tebal di Pangsapuri Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya.

Kejadian yang menimpa Nor Hidayah Ahmad, 30, hanya disedari kira-kira jam 5.30 petang oleh bapanya yang mengunjungi rumah pangsa didiami wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, dipetik sebagai berkata berkata bapa mangsa mula mengesyaki sesuatu apabila terhidu bau busuk sebaik memasuki rumah sewa anaknya itu sebelum melaporkan kejadian kepada polis.

Mohd Zani berkata, mangsa yang bekerja kilang tinggal di rumah terbabit bersama anak lelakinya berusia enam tahun namun ketika kejadian kanak-kanak itu berada di pusat asuhan.

Berita Harian X