Jumaat, 13 September 2019 | 4:08pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Buruh dipenjara 13 tahun, 7 sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang buruh dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan sengaja merogol seorang pembantu rumah, Disember 2018.

Tertuduh juga warga negara India, N Balu, 44, dikenakan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh jatuh hukum pada 13 September 2019.

Hakim Noradura Hamzah dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan dalam kes itu gagal menunjukkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.

Katanya, tindakan tertuduh selaku warga asing mengecewakan apabila salah guna peluang diberikan kepadanya.

“Mahkamah mengambil kira prinsip kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Di sini ini, warga asing dialu-alukan malah diberikan kebebasan untuk kerja mahupun aktiviti sosial namun mereka diberikan hak untuk melakukan kesalahan jenayah.

“Tertuduh melakukan kesalahan tanpa takut, seolah negara ini tidak selamat untuk menjamin keselamatan masyarakatnya lebih lagi wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Tertuduh didakwa dengan sengaja merogol seorang wanita warga negara Indonesia berusia 43 tahun empat bulan, di dalam bilik di pangsapuri kos rendah di Jalan Taman Sri Sentosa, Brickfields, di sini, pada jam kira-kira 11 pagi, 16 Disember 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman penjara setimpal dengan kesalahan serius dilakukan tertuduh.

“Mahkamah perlu ambil faktor kepentingan awam dan kesan kejadian terhadap mangsa apabila menjadi trauma.

“Tertuduh juga menyalah gunakan kesempatan terhadap individu tidak dikenali malah menjejaskan keselamatan masyarakat di sini,” katanya.

Peguam Razman Sahat mewakili Balu, berkata tertuduh mempunyai ibu bapa yang sudah berusia di negara asalnya dan memohon hukuman penjara minimum.

“Hukuman pemenjaraan panjang terhadap tertuduh hanya akan menambah kos tanggungan banduan dalam kalangan warga asing,” katanya.

Bagi kes itu, perbicaraan pembelaan bermula pada 14 Ogos 2019 dengan 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan.

Berita Harian X