Khamis, 12 September 2019 | 9:52pm

4 individu ditahan hina agama, ganggu keharmonian

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Empat individu, termasuk seorang wanita ditahan selepas dikesan terbabit dalam mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, selain memuatnaik rakaman video mengaibkan dengan niat cuba mencetuskan rusuhan antara kaum.

Kesemua mereka ditahan di empat lokasi berasingan sekitar Lembah Klang dan Seremban selepas Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengenal pasti identiti mereka, hasil siasatan yang dijalankan sejak Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan pemilik akaun Facebook (FB), yang menggunakan nama Zahrein Zakariah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 2.45 petang semalam.

“Hasil siasatan yang dibuat, lelaki berbangsa Melayu ini didapati mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, 9 Julai lalu.

“Ketika ditahan, polis turut merampas peralatan telekomunikasi yang digunakannya untuk memuat naik kenyataan yang dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki berbangsa India yang menggunakan nama Ramar Nara dalam akaun FB miliknya selepas mengeluarkan kenyataan menghina kaum Melayu pada 16 Ogos lalu.

Katanya, lelaki ini ditahan pada jam 5 petang semalam di Pelabuhan Klang, Selangor, dengan beberapa peralatan telekomunikasi dan digital digunakannya untuk membuat kenyataan itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Turut ditahan adalah seorang wanita Melayu yang didapati menghina Nabi Muhammad SAW melalui akaun FB yang menggunakan nama Ain Zafirah atau Nia Fira. Dia ditahan di Seremban 3, Negeri Sembilan pada jam 4.30 petang semalam bersama peralatan telekomunikasi digunakannya juga dirampas,” katanya.

Huzir berkata, penahanan seterusnya membabitkan seorang lelaki berbangsa India berhubung sebuah video yang dimuat naik dalam laman Youtube oleh seorang lelaki dikenali sebagai Arunakiri pada 9 September lalu, sebelum ditahan di Kelana Jaya, malam semalam.

Kesemua tangkapan ini adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) yang membantu mengesan pemilik akaun laman sosial berkaitan.

“Ketika ini, kesemua individu terbabit sedang direman untuk siasatan lanjut. Kita menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau berkongsi perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan Institusi Diraja di mana-mana laman sosial,” katanya.

5795 dibaca
Berita Harian X