Khamis, 12 September 2019 | 10:05am
KEADAAN terumbu karang yang rosak akibat dilanggar kapal kargo. - Foto ihsan Ivan Tan
KEADAAN kapal dagang yang terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunian di Kudat dikhuatiri menyebabkan kemusnahan terumbu karang. - Foto ihsan Samri Magunding
Penilaian kerosakan terumbu karang bermulaKEADAAN kapal dagang yang terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunian di Kudat dikhuatiri menyebabkan kemusnahan terumbu karang. - Foto ihsan Samri Magunding
KEADAAN kapal dagang yang terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunian di Kudat dikhuatiri menyebabkan kemusnahan terumbu karang. - Foto ihsan Ivan Tan

Penilaian kerosakan terumbu karang bermula

KOTA KINABALU: Kerja penilaian mula dijalankan, hari ini, terhadap tahap kerosakan terumbu karang yang dilanggar sebuah kapal kargo terkandas di perairan cetek Pulau Kalampunian, Kudat.

Penilaian itu dilakukan pasukan penyelam daripada pelbagai agensi dengan diketuai Taman-Taman Sabah.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais, berkata pihaknya menyifatkan kejadian pada Ahad lalu sebagai serius kerana mungkin membabitkan sejumlah kerosakan terumbu karang dalam taman marin.

“Kes ini sedang disiasat mengikut peruntukan Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 dan tindakan lanjut akan diambil apabila siasatan selesai dijalankan nanti.

“Jika didapati bersalah, syarikat kapal terbabit akan dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.


KEJADIAN kapal dagang yang terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunian di Kudat dikhuatiri menyebabkan kemusnahan terumbu karang. - Foto ihsan Ivan Tan

Beliau berkata, berikutan insiden itu, kawasan perairan yang terjejas ditutup kepada orang awam bagi memudahkan pelaksanaan kerja siasatan.

Katanya, lokasi terbabit juga sudah dipasang pelampung sebagai penanda kawasan terjejas bagi memudahkan kawalan dan penilaian kerosakan.

“Pihak Taman-Taman Sabah juga akan menilai kos kerosakan dan kerja restorasi yang perlu dijalankan kelak.

“Kita akan memastikan restorasi karang dilaksanakan dengan membabitkan pihak berkepentingan, termasuk Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia), pengusaha pelancongan di ‘Tip of Borneo’ dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain,” katanya.

Mengenai kapal kargo terbabit yang dipercayai milik sebuah syarikat berdaftar di Sarawak, Jamili berkata, ia sudah ditunda keluar oleh ejen syarikat berkenaan dan ditarik ke kawasan perairan lebih dalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak Taman-Taman Sabah tidak membenarkan kapal itu belayar keluar sehingga keperluan dokumentasi bagi tujuan siasatan kes berkenaan selesai dijalankan.

“Laporan polis sudah dibuat pada hari kejadian, manakala pasukan penyiasat Taman-Taman Sabah bergegas ke lokasi untuk memulakan siasatan dan perbincangan.

“Ini termasuk menempatkan sebuah bot Taman-Taman Sabah yang berlabuh berhampiran kawasan kejadian, sepanjang masa hingga sekarang, bagi tujuan pemantauan dan kawalan,” katanya.

Ahad lalu, kapal kargo berkenaan didapati terkandas di atas terumbu karang, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Kalampunian dalam perairan Taman Tun Mustapha, iaitu taman marin yang diwartakan kerajaan negeri di Kudat.

Berita Harian X