Rabu, 11 September 2019 | 4:54pm
Tertuduh yang didakwa menetak Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi, Mohd Nasli Mohd Nasir (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Besut hari ini selepas diperintahkan menjalani pemeriksaan mental. - Foto BERNAMA

Tertuduh kes tetak Ketua Polis Besut diarah jalani pemeriksaan mental

BESUT: Tertuduh yang didakwa menetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, hari ini diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini untuk menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu terhadap Mohd Nasli Mohd Nasir, 33, dan mengarahkannya berbuat demikian dalam tempoh sebulan bermula hari ini di Hospital Permai di Johor Bahru.

Kes hari ini adalah sebutan kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini selepas dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Pada 22 Ogos lalu, Mohd Nasli yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah mencederakan Mohd Zamri dengan cara menetak menggunakan sebilah parang yang menyebabkan kecederaan parah hingga terputus ibu jari kanan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Cordoba Residence, Padang Luas, Jerteh, Besut, pada jam 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, peguam yang mewakili Mohd Nasli, Ahmad Fairuz Jusoh memohon mahkamah mempertimbangkan rayuannya untuk menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan mental berikutan rekod perubatan tertuduh yang pernah dirawat di Klinik Psikiatri dan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, pada 2012.

Bagaimanapun, katanya, Mohd Nasli tidak menjalani rawatan lanjut. Mahkamah turut menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli.

– BERNAMA

550 dibaca
Berita Harian X