Selasa, 10 September 2019 | 1:10pm
Presiden Kelab Media Kelantan (KEMUDI), Azran Fitri Rahim. - Foto Syamsi Suhaimi

KEMUDI gesa tindakan segera pihak ugut bunuh wartawan BH

KOTA BHARU: Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung ugutan yang dilakukan kepada wartawan BH berikutan pendedahan yang dibuatnya beberapa hari lalu.

Presidennya, Azran Fitri Rahim, berkata tindakan pihak berkenaan amat tidak bertamadun dan tidak seharusnya berlaku kerana ruang turut disediakan seluas-luasnya untuk menjawab kembali pendedahan yang dibuat.

Justeru, katanya, KEMUDI mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak terbabit dan menggesa pihak berkuasa supaya melakukan siasatan segera.

“Perkara seperti ini tidak harus dibiarkan dan tindakan tegas harus dikenakan terhadap pihak terbabit bagi memberikan pengajaran kepada yang lain.

“Kami berharap ugutan berkenaan tidak mematahkan semangat wartawan terbabit untuk terus membuat pendedahan dan menghasilkan karya yang terbaik untuk pembaca.

“Wartawan adalah suara rakyat untuk kebaikan semua,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

BH Online semalam melaporkan pengurusan BH mengesahkan seorang daripada wartawannya menerima ugutan bunuh berikutan satu laporan pendedahan yang dibuat akhbar ini beberapa hari lalu.

Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid, berkata pihaknya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan, sebaliknya ancaman sedemikian akan menguatkan azam akhbar itu untuk terus gigih membongkarkan sebarang berita yang membabitkan masyarakat di negara ini.

Berita Harian X