Selasa, 10 September 2019 | 12:59pm

Jho Low rapat dengan Rosmah - Amhari

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, berkata beliau mendengar Rosmah menghubungi Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, dalam satu perjumpaan dengan ahli perniagaan itu bersama-sama ketuanya, Ketua Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias di sebuah hotel.

Saksi pendakwaan kelapan itu yang menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, berkata dalam pengetahuannya, Rosmah mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low kerana ahli perniagaan itu kerap mendapat panggilan daripadanya.

Disoal peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee berhubung bagaimana beliau mengetahui hubungan rapat itu, Amhari Efendi berkata, ketika hadir dalam beberapa majlis rasmi di kediaman Najib, beliau pernah mendengar perbualan antara Rosmah dengan Jho Low menerusi telefon.

Malah, katanya Rosmah pernah bercakap mengenai Jho Low ketika berbual dengannya tetapi tidak memberitahu bahawa mereka rapat.

Amhari Efendi berkata, Jho Low pernah memberitahunya mengenai hubungan rapat beliau dengan Rosmah serta keluarga (Najib).

“Saya mendengar perbualan mereka menerusi telefon tetapi tidak pernah ambil tahu.

“Jho Low pernah beritahu saya Rosmah ada menelefonnya dan minta saya diamkan perkara itu,” katanya.

Muhammad Shafee: Adakah Rosmah pernah beritahu kamu bahawa beliau rapat dengan Jho Low?

Amhari Efendi: Datin Rosmah tidak cakap beliau rapat tetapi saya selalu dengar mereka kerap berbual dengan Jho Low.

Muhammad Shafee: Di mana kamu nampak?

Amhari Efendi: Di majlis kediaman mereka (Najib).

Muhammad Shafee: Kamu rumuskan hubungan rapat mereka menerusi apa yang kamu lihat?

Amhari: Ya.

Amhari Efendi berkata, dalam majlis rasmi yang diadakan Najib, selalunya jemputan adalah lebih kurang 100 orang di mana mereka terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan individu keutamaan.

Amhari Efendi bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa jemputan yang menghadiri majlis di kediaman Najib adalah mereka yang rapat dengan keluarga bekas perdana menteri itu.

2389 dibaca
Amhari (kiri) berkata, Jho Low pernah memberitahunya mengenai hubungan rapat beliau dengan Rosmah serta keluarga (Najib). - NSTP/Hafiz Sohaimi
Berita Harian X