Isnin, 9 September 2019 | 10:38pm

Wartawan BH terima ugutan bunuh

KUALA LUMPUR: Pengurusan BH mengesahkan seorang daripada wartawannya menerima ugutan bunuh berikutan satu laporan pendedahan yang dibuat akhbar ini beberapa hari lalu.

Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid, berkata pihaknya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan, sebaliknya ancaman sedemikian akan menguatkan azam akhbar itu untuk terus gigih membongkarkan sebarang berita yang membabitkan masyarakat di negara ini.

“Setiap laporan disiarkan BH adalah berdasarkan bukti diperoleh oleh wartawan kami.

“Jika ada pihak yang tidak puas hati terhadap mana-mana laporan BH, akhbar ini sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan.

“Tindakan membuat ugutan adalah satu perbuatan pengecut dan tidak akan meluntur semangat kami untuk mengejar kebenaran,” katanya.

Beliau berkata berikutan ugutan yang diterima menerusi emel itu, satu laporan polis dibuat pada Ahad.

“Kami berharap penghantar emel dapat dikesan serta tindakan sewajarnya diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Chin Sung Chew, menuntut supaya polis menjalankan siasatan secepat mungkin terhadap tindakan mengugut wartawan.

Beliau berkata, NUJ mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian yang boleh didakwa sebagai kesalahan ugutan jenayah mengikut peruntukan undang-undang di negara ini.

“NUJ menerima laporan daripada cawangan New Straits Times Press (NSTP) mengenai seorang ahlinya yang juga wartawan menerima ugutan bunuh menerusi emel pada 8 September lalu.

“Polis harus menyiasat siapa dalang di sebalik tindakan ini dan heret mereka ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sung Chew berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati mengenai sebarang siaran berita mempunyai hak untuk membuat aduan menerusi saluran sepatutnya, berbanding membuat ugutan bunuh kepada wartawan.

Tertakluk dengan perundangan dan etika, katanya, wartawan turut mempunyai hak untuk ‘memburu’ kebenaran menerusi penyiaran artikel berkaitan.

Justeru, katanya, tiada pihak yang boleh menghalang golongan profesional berkenaan daripada menjalankan tugas dengan bertindak secara sesuka hati.

“Semua ahli dan wartawan yang bernaung dengan NUJ diminta untuk tidak melayan ugutan secara lisan atau bertulis seperti ini, selain terus melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi tindakan susulan.

“NUJ amat prihatin mengenai insiden ini dan akan terus memantau keselamatan wartawan,” katanya.

Berita Harian X