Ahad, 8 September 2019 | 10:39am
Keadaan motosikal ditunggan mangsa Mangsa Ujat Keong (gambar kecil) 61, berlanggar dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Batu 12 Jalan Kuching-Serian. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal ditunggan mangsa Mangsa Ujat Keong (gambar kecil) 61, berlanggar dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Batu 12 Jalan Kuching-Serian. - Foto ihsan PDRM

Warga emas maut ketika buat pusingan U

PADAWAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Batu 12, Jalan Kuching-Serian di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.55 petang itu, Ujat Keong, 61, yang menunggang motosikal jenis Modenas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penyiasatan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Serian ke Kuching.

“Sebaik tiba di kawasan lampu isyarat, mangsa tiba-tiba membuat pusingan U untuk pulang ke rumahnya di Taman Muhibah, Batu 13, di sini.

“Proton Wira yang datang dari arah Kuching tidak menyedari tindakan mangsa lalu melanggarnya menyebabkan mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, pemandu Proton Wira berusia 29 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HUS untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian X