Jumaat, 6 September 2019 | 4:58pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

8 November dengar dua permohonan kes saman cukai pendapatan Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 8 November ini untuk mendengar dua permohonan dalam kes saman difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menuntut tunggakan cukai pendapatan daripada Datuk Seri Najib Razak berjumlah 1.69 bilion.

Permohonan LHDN adalah supaya Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman terus dalam kes saman itu tanpa melalui perbicaraan, manakala Najib pula memohon menangguhkan prosiding saman terbabit sementara beliau merayu penilaian taksiran cukai itu.

Peguam Kanan bagi LHDN, Norhisham Ahmad memberitahu perkara itu ketika ditemui media selepas prosiding pengurusan kes saman berkenaan.

Norhisham berkata, Hakim Datuk Ahmad Bache dalam kamarnya, mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 1 November ini.

Perkara itu turut disahkan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee bagi pihak Najib.

Najib memfailkan permohonan penangguhan prosiding saman itu pada 8 Ogos lalu sementara beliau merayu bagi penilaian semula terhadap jumlah taksiran diputuskan LHDN.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

LHDN selaku plaintif menamakan Najib selaku defendan tunggal.

Dalam saman itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83, faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam penyataan tuntutan, kerajaan berkata, bagi Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017, defendan ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41 melalui Notis-Notis Taksiran (Tambahan) bertarikh 20 Mac 2019.

Plaintif berkata, sehingga kini Najib masih gagal membayar kepadanya amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang bagi tahun taksiran tambahan berkenaan.

Berita Harian X