Jumaat, 6 September 2019 | 1:05pm
KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua dari kiri) menunjukkan senjata yang dirampas dari suspek warga emas berusia 82 tahun dalam kejadian bunuh ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. NSTP/Fardy Bungga.
KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua dari kiri) menunjukkan senjata yang dirampas dari suspek warga emas berusia 82 tahun dalam kejadian bunuh ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. NSTP/Fardy Bungga.

Tikam jiran gara-gara dapur masak

KOTA KINABALU: Pertengkaran mulut gara-gara penggunaan dapur masak di rumah sewa berakhir dengan tragedi pembunuhan, apabila seorang warga emas berusia 82 tahun bertindak menikam jiran serumah dengan parang panjang, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, dua penyewa rumah di Kampung Cempaka Baru, Jalan Haiwan, Likas, di sini, bertekak selepas mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan menggunakan dapur masak milik keluarga penyewa lain.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pada mulanya, pertengkaran mulut berlaku antara mangsa dan anak suspek berusia 29 tahun.

Bagaimanapun, pergaduhan itu kemudian menjadi lebih serius apabila suspek dan

isterinya yang berusia 57 tahun turut campur tangan.

“Akibat gagal mengawal perasaan marah, suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dan terus mengambil parang sebelum menikam mangsa di dada.

“Mangsa yang parah di dada kemudian dikejarkan ke HQE I untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.30 petang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, sebaik menerima maklumat kejadian, sepasukan polis dikerah bergegas ke lokasi kejadian pada jam 2 petang untuk menjalankan siasatan, dan menahan suspek, anak serta isterinya.

“Polis turut merampas sebilah parang berukuran 69 sentimeter yang dipercayai digunakan ketika kejadian itu,” katanya.

Siasatan mendapati, mangsa dan keluarga suspek sering bertengkar kerana mangsa dikatakan sering menggunakan peralatan dapur memasak seperti dapur gas, kuali dan pinggan milik suspek.

“Suspek bersama anak dan isteri direman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berita Harian X