KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mewartakan notis bagi memanggil pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terhadap wang lebih RM700,000 disita daripada UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan 39 individu lain.
Notis itu bertujuan memanggil pihak ketiga hadir ke mahkamah sama ada secara sendiri atau melalui peguam untuk memberi tunjuk sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Wang berjumlah RM700,000 yang disita pihak berkuasa itu ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan notis itu diwartakan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai.
Antara individu dinamakan sebagai responden yang hadir ke mahkamah termasuk Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Khairuddin Mahmud; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Ketua Puteri UMNO bahagian itu, Sida Tantiana Sariat.
Bagaimanapun, Najib dan anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Muhamed Nizar yang turut dinamakan sebagai responden tidak hadir pada prosiding hari ini.
Peguam Datuk M Reza Hassan mewakili UMNO Pekan, Najib dan 39 individu yang dinamakan selaku responden.
Allan memberitahu mahkamah, pihaknya memohon tempoh dua bulan untuk mewartakan notis berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes dan mewartakan lucut hak.
Terdahulu Reza memohon mahkamah menangguhkan prosiding pelucutan hak berikutan pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Saya mendapat arahan daripada anak guam untuk membuat permohonan penangguhan. Kami sudah memfailkan rayuan pada 30 Ogos lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Allan membantah kerana prosiding pelucutan hak tidak mengganggu proses rayuan.
“Pendakwaan membantah isu berhubung penangguhan kerana prosiding lucut hak boleh diteruskan. Kita mempunyai masa dua bulan untuk pihak ketiga muncul,” katanya.
Mohd Nazlan kemudian menetapkan 3 Oktober depan untuk pendengaran permohonan penangguhan itu.
Permohonan UMNO Pekan sebelum ini bagi membatalkan permohonan lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 yang dibekukan.
Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sementara itu, Mohd Nazlan melucut hak harta iaitu wang milik Yayasan Tun Rahah dan diserah kepada Kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, prosiding diadakan dalam kamar dan jumlah wang tidak dimaklumkan.
Peguam Amin Othman mewakili yayasan berkenaan selaku responden.