Khamis, 5 September 2019 | 7:20pm
Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi saksi pendakwaan kelapan hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi saksi pendakwaan kelapan hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Bilik lokap SPRM berhantu?

KUALA LUMPUR: Suasana ‘hangat’ perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertukar ‘ceria’ hari ini apabila peguam bela dan saksi pendakwaan mengeluarkan kenyataan melucukan.

Pada prosiding sebelah pagi, saksi pendakwaan kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai akaun yang dibuka di Kasikornbank, Thailand, bagi tujuan dana politik.

Muhammad Shafee sering merujuk nama bank itu sebagai ‘sangat malang’.

“Malang sungguh nama itu. Kasikorn...’Kasi-conned (kena tipu),” kata Muhammad Shafee sehingga menyebabkan semua berada di mahkamah ketawa.

Amhari Efendi turut menceriakan apabila beliau memberitahu Mahkamah Tinggi, bilik lokap di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhantu.

Muhammad Shafee ketika itu menyoal saksi mengenai pengalamannya ketika ditahan reman selama tujuh hari oleh suruhanjaya itu.

Muhammad Shafee: Bagaimana SPRM melayan kamu?

Amhari: Mereka sangat profesional.

Muhammad Shafee: Adakah kamu ditahan dalam lokap sebenar atau lokap pejabat?

Amhari: Lokap sebenar. Saya tidur di atas lantai.

Muhammad Shafee: Saya dengar pejabat itu berhantu.

Amhari: Yang berhantu bilik hujung... saya beruntung sebab dapat bilik tengah.

Jawapan saksi itu menyebabkan semua dalam mahkamah ketawa.

Berita Harian X