Rabu, 4 September 2019 | 4:04pm
Pekerja memasuki kawasan kilang selepas dibenarkan kembali bekerja berikutan kebocoran gas ammonia di Serkam, Merlimau. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
Pekerja memasuki kawasan kilang selepas dibenarkan kembali bekerja berikutan kebocoran gas ammonia di Serkam, Merlimau. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Gaji pekerja kilang ayam akan dibayar seperti biasa

MELAKA: Pembayaran gaji kira-kira 800 pekerja kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Jasin, dekat sini, yang menjadi mangsa kebocoran gas ammonia, akan dibayar sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata hasil perbincangan antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan pihak kilang, semalam, mencapai persetujuan supaya gaji pekerja dibayar sepanjang tempoh kilang ditutup.

Katanya, perbincangan itu susulan pengoperasian kilang berkenaan didakwa sudah diarah tutup selama dua minggu bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian terbabit.

“PKNM bersama pihak kilang sudah memberi jaminan akan menjaga kebajikan pekerja dengan melunaskan pembayaran gaji mereka seperti biasa.

“Umum mengetahui, semua 800 pekerja terbabit tidak bekerja sepanjang tempoh siasatan dan sudah pasti mereka risau pendapatan akan terjejas. Dengan jaminan ini sudah pasti memberi kelegaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat 12 lagi mangsa gas berkenaan di Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Mohd Rafiq berkata, pada ketika ini, siasatan dilakukan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri bagi memastikan keadaan di kawasan berkenaan selamat sepenuhnya hingga mencapai bacaan di bawah 25 PPM (Bahagian Setiap Juta).

Dalam kejadian kejadian kira-kira 11.40 pagi semalam, seramai 33 orang, termasuk enam pekerja asing dikejarkan ke Hospital Jasin dan Hospital Melaka selepas terhidu gas ammonia apabila berlaku kebocoran saluran paip gas berkenaan.

Daripada jumlah itu, 17 mangsa sudah dibenarkan pulang manakala 16 lagi masih mendapat rawatan dan dilaporkan stabil.

Berita Harian X