Rabu, 4 September 2019 | 11:58am
ANGGOTA bomba memadam kebakaran Rumah Andrew Lawai di Jagoi Pakan, Sarikei, malam tadi. - Foto Khalid Latip

Rumah panjang terbakar, 20 penghuni hilang tempat tinggal

SARIKEI: Seramai 20 penghuni Rumah Andrew Lawai hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jagoi Pakan, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata insiden jam 8.45 malam itu dipercayai bermula dari salah sebuah bilik sebelum merebak pantas meranapkan 90 peratus rumah panjang separuh kekal itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar menyelamatkan diri.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.50 malam. Namun setiba di lokasi, kediaman terbabit didapati sudah ranap dengan api masih merebak ke seluruh rumah panjang.


ANGGOTA bomba memadam kebakaran Rumah Andrew Lawai di Jagoi Pakan, Sarikei, malam tadi. - Foto Khalid Latip

“Api merebak dengan pantas kerana cuaca panas menyebabkan mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, anggota juga terpaksa mengisi air ke dalam jentera berulang kali dari pili bomba terletak jarak kira-kira 500 meter berikutan ketiadaan sumber air berhampiran.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.30 malam dan operasi ditamatkan pada jam 10.30 malam,” katanya.

Semua mangsa, termasuk dua kanak-kanak, kini ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Meradong Julau dan Pakan.

Kejadian itu menyusuli insiden kebakaran Rumah Noh Bin di Stalon Belawai yang mengakibatkan 56 penghuninya tinggal sehelai sepinggang, kelmarin.

Nicholas sekali gus mengingatkan orang ramai berhati-hati bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang berikutan cuaca panas ketika ini.

Berita Harian X