Selasa, 3 September 2019 | 4:45pm
AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

'Jho Low arah lupus dokumen, e-mel'

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengarahkan dokumen membabitkan urusan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilupuskan setiap kali selepas perbincangan diadakan.

Ia berikutan perkara dibincangkan adalah sulit dan arahan dibuat bagi mengelak kandungan dalam dokumen tersebar kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Afendi Nazaruddin, 43, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi, berkata beliau melupuskan dokumen seiring arahan terbabit.

“Ada sesetengah dokumen saya terlepas pandang dan tidak dilupuskan.

“Saya rasa disebabkan sifat kerahsiaan bekas Ketua Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias yang tinggi, kemungkinan semua dokumen diterimanya juga dilupuskan.

“Ada kalanya, Datuk Azlin memberikan salinan dokumen milik beliau untuk saya simpan selepas pertemuan dengan Jho Low. Saya dapat cam berdasarkan catatan tangan Datuk Azlin pada dokumen itu,” katanya.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata, Jho Low sentiasa mengingatkan mereka sama ada secara lisan, pesanan ringkas Blackberry atau e-emel untuk melupus atau memadamkan pesanan serta e-mel yang dihantar atau disediakannya.

Mengimbas pertemuan mereka bertiga, Amhari berkata, beliau kerap menemani Allahyarham Azlin merokok tanpa kehadiran Jho Low.

“Ada beberapa kali Datuk Azlin menyuarakan kemusykilan dan meluahkan perasaan kepada saya. Ada masanya Datuk Azlin sahkan balik dengan Datuk Seri Najib keesokannya mengenai perkara dibincangkan.

“Hasilnya, Datuk Azlin beritahu saya, perkara yang dibincangkan malam sebelumnya bersama Jho Low disahkan Najib dan perlu dilaksanakan.

“Sebagai contoh, senarai nama International Board of Advisor (BOA) 1MDB disenarai pendek oleh Jho Low, diluluskan Najib.

“Datuk Azlin ada beritahu dan mengesahkan perkara itu. Ini menunjukkan Najib memberikan authority (kuasa) kepada Jho Low membuat perancangan berhubung tindakan 1MDB,” katanya.

Berita Harian X