Ahad, 1 September 2019 | 7:58pm
Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di dalam longkang berhampiran Jalan Persiaran Anggerik Renantanda, Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam.
Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di dalam longkang berhampiran Jalan Persiaran Anggerik Renantanda, Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam.

Mayat ada kesan tikaman dalam longkang

SHAH ALAM: Bau busuk dari sebuah longkang membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian di Persiaran Anggerik Renantanda, Seksyen 31, di sini pagi tadi.

Mayat lelaki yang ada kesan dipercayai tikaman di perut dianggarkan berusia 30-an itu, ditemui seorang peniaga Pasar Pagi Ahad di kawasan parkir Jalan Anggerik Mokara.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata, kira-kira jam 8.30 pagi tadi wanita itu ke Balai Polis Kota Kemuning membuat aduan berhubung penemuan mayat lelaki terbabit di dalam longkang bersebelahan tempat mereka berniaga.

“Mayat itu dijumpai selepas mereka membuat pemeriksaan apabila terhidu bau yang tidak menyenangkan dari dalam longkang.

“Mayat itu berada di dalam longkang dengan kedalaman kira-kira 2.74 meter (9 kaki) dan lebar 1.52 meter (5 kaki).

“Tempat kejadian bersebelahan dengan kawasan parkir yang dijadikan Pasar Pagi Ahad oleh beberapa peniaga untuk pelanggan warga asing yang tinggal di deretan kedai dua tingkat berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, siasatan mendapati mayat masih berpakaian iaitu baju T berwarna biru gelap bertulis Emirates dan seluar panjang gelap.

Beliau berkata, pasukan daripada Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing K9 dikejarkan ke lokasi bagi membantu siasatan.

“Dari pandangan mata kasar, terdapat tiga kesan dipercayai tikaman objek tajam pada perut mayat, namun tiada kesan kecederaan lain.

“Lelaki tanpa suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) itu disyaki mati dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui, malah tiada sebarang dokumen dijumpai pada mayat dan sekitar lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 9 pagi esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Siperintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau 03-55202222.

Berita Harian X