Ahad, 1 September 2019 | 2:23pm

Guru ditipu 'Datuk Shahrul'

KUANTAN: Seorang guru sekolah agama di sini, kerugian RM11,340 selepas diperdaya lelaki bergelar ‘Datuk’, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata wanita berusia 25 tahun itu dikatakan menerima panggilan seorang lelaki yang mendakwa sebagai kakitangan mahkamah.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai kes di mahkamah berkaitan kad kredit palsu yang dibuka di Kuala Terengganu dan panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lelaki lain yang mendakwa dirinya pegawai polis.

“Suspek pertama mendakwa mangsa mempunyai kes pengubahan wang haram sebelum panggilan disambungkan ke Bukit Aman kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk Shahrul’,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, ‘Datuk’ itu bertanyakan kepada mangsa mengenai semua akaun bank dan kad kredit miliknya untuk tujuan siasatan.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberikan semua maklumat kad ATM miliknya kepada suspek.

“Tidak lama kemudian, mangsa menerima 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak bank yang menghantar Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

“Mangsa memberikan semua nombor TAC berkenaan kepada suspek dan selepas membuat semakan akaun, guru itu mendapati wang berjumlah RM11,340 miliknya lesap,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Berita Harian X