Selasa, 27 Ogos 2019 | 2:11am

JPJ sita lapan kenderaan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 418 notis saman atas pelbagai kesalahan, termasuk 83 notis saman atas kesalahan cermin gelap menerusi operasi di Plaza Tol Sentul Pasar menghala ke ibu negara, malam tadi.

Menerusi Operasi Pengarah JPJ Kuala Lumpur Bilangan 3/2019 bermula jam 8 malam itu, sebanyak 956 kenderaan diperiksa dengan lapan kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi, berkata jumlah kesalahan membabitkan cemin gelap ini boleh dianggap tinggi kerana peraturan baharu berkaitan cermin gelap sudah pun diuar-uarkan.

“Jumlah itu (83 notis saman) boleh dianggap tinggi untuk satu operasi khusus yang kita adakan di lokasi ini.

“Kesalahan berkaitan cermin gelap ini berlaku atas dua kemungkinan, iaitu disengajakan kerana banyak advokasi berkaitan cermin gelap ini kita buat di media cetak dan elektronik, sebelum kita kuatkuasakan peraturan pada 8 Mei lalu.

“Namun ada juga pemandu yang mendakwa mereka tidak tahu mengenai peraturan baharu itu,” katanya dalam sidang media malam tadi.


Ismail (kanan) memeriksa cermin gelap pada kenderaan yang diperiksa ketika Operasi Pengarah JPJ Kuala Lumpur Bilangan 3/2019 di Plaza Tol Sentul Pasar. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Operasi Pengarah JPJ Kuala Lumpur Bilangan 3/2019 di Plaza Tol Sentul Pasar. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Ismail berkata, sekiranya ada pihak berkeperluan menggunakan cermin gelap, mereka dinasihatkan membuat permohonan dengan bayaran RM50 dan sekiranya diluluskan, mereka perlu membayar fi.

Beliau berkata, penggunaan cermin gelap untuk cermin hadapan dan cermin sisi pemandu serta sisi penumpang hadapan kini dibenarkan atas dua faktor, iaitu keselamatan dan kesihatan.

“Tindakan atas kesalahan cermin gelap dijalankan mengikut Kaedah 5 (1) iaitu untuk cermin hadapan dan Kaedah 5 (3) untuk cermin sisi, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000.

“Mereka yang melakukan kesalahan akan dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menetapkan denda tidak lebih RM2,000.

Menerusi operasi malam tadi, katanya, pihak JPJ mengeluarkan 196 notis saman atas kesalahan tiada cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh.

Beliau berkata, sebanyak 112 notis saman turut dikeluarkan untuk kesalahan tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh, nombor pendaftaran kenderaan tidak ikut spesifikasi (sembilan), motosikal tiada cermin sisi (dua) dan 16 notis saman atas kesalahan lain.

Operasi Pengarah JPJ Kuala Lumpur Bilangan 3/2019 di Plaza Tol Sentul Pasar. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Berita Harian X