Isnin, 26 Ogos 2019 | 7:26pm
Menurut LHDN, Nooryana Najwa masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan dan kenaikan dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan, oleh itu kenaikan cukai lima peratus lagi dikenakan terhadapnya. - Arkib NSTP

LHDN tuntut anak Najib bayar cukai RM10.3 juta

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengemuka saman terhadap anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bagi menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta bagi tahun taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN yang bertindak selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 24 Julai lalu dengan menamakan Nooryana Najwa selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, LHDN berkata, Nooryana Najwa gagal mengemuka Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

Menurut LHDN, sehubungan itu satu taksiran mengikut Seksyen 90(3) akta sama berjumlah RM2,430,694.74, RM26,613.24, RM6,011,957.64, RM271,832.92, RM48,526.98, RM137,595.21 dan RM21,084.39 (termasuk penalti mengikut Seksyen 112(3) akta sama, dibangkitkan melalui notis taksiran masing-masing bertarikh 15 Mac lalu.

Oleh kerana defendan gagal membayar jumlah cukai itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian notis kepadanya mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan, LHDN berkata, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus masing-masing berjumlah RM243,069.47, RM2,661.32, RM601,195.76, RM27,183.29, RM4,852.69 dan RM13,759.52 dan RM2,108.43 dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai yang masih belum dibayar.

Menurut LHDN, Nooryana Najwa bagaimanapun masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan dan kenaikan dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan, oleh itu kenaikan cukai lima peratus lagi dikenakan terhadapnya.

Ia masing-masing sebanyak RM133,688.21, RM1,463.72, RM330,657.67, RM14,950.81, RM2,668.98, RM7,567.73 dan RM1,159.64.

LHDN dengan itu menegaskan, mereka berhak mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan masih terhutang serta kenaikan dikenakan terhadap defendan sebagai suatu cukai genap masanya dan perlu dibayar.

Menurut plaintif, sehingga kini, defendan masih gagal membayar semua amaun cukai pendapatan itu.

Sehubungan itu, LHDN menuntut perintah supaya Nooryana Najwa membayar cukai pendapatan berjumlah RM10,335,292.36, faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah berkenaan daripada tarikh penghakiman sehingga dibayar, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, SS Malini Anne menetapkan pada 12 September depan bagi pengurusan kes.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntutnya membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Kerajaan turut memfailkan saman sama terhadap seorang lagi anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib bagi menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.

Berita Harian X