Khamis, 22 Ogos 2019 | 8:01pm
Tindakan licik seorang lelaki Myanmar memalsukan kad pengenalan pelarian UNHCR dan i-Kad Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengundang padah selepas dia diberkas polis dalam satu serbuan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam. - Foto ihsan PDRM

Lelaki Myanmar ditahan jual kad UNHCR, i-Kad palsu

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan polis kerana memperdaya mangsa senegaranya dengan menjual kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan i-Kad palsu.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang semalam di sebuah rumah dekat Taman Sri Rambai, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata polis menerima laporan berhubung penjualan kad UNHCR dan i-Kad dipercayai palsu di daerah ini.

“Melalui hasil maklumat yang diperoleh, polis berjaya menjejaki suspek dan pemeriksaan di rumah suspek menemui lima keping kad UNHCR atas pelbagai nama, empat keping i-Kad, lima keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta tiga pasport warga Myanmar yang dipalsukan.

“Kesemua kad itu dirampas termasuk peralatan mencetak kad berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata hasil soal siasat mendapati suspek menjalankan kegiatan berkenaan sejak dua bulan lalu dan menjual kad itu pada harga RM30.

“Kad-kad yang dirampas dibawa ke forensik untuk dianalisis, termasuk membuat semakan di Pejabat Imigresen.

“Suspek ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berita Harian X