Rabu, 21 Ogos 2019 | 10:40am

Peniaga rugi RM40,000 ditipu sindiket Macau Scam

KUANTAN: Seorang peniaga terpaksa menanggung kerugian RM40,000 selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Datuk pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa yang berusia 48 tahun itu menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri dari Mahkamah Terengganu, pada jam 11 pagi.

“Suspek memaklumkan nama mangsa disalahgunakan oleh individu lain dan mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM10,000. Namun, mangsa menafikannya.

“Bagaimanapun, panggilan terbabit disambungkan kepada seorang yang dikenali sebagai Inspektor Firdaus. Hasil semakan yang dilakukan suspek, mangsa didapati turut terbabit dengan penggubahan wang haram dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta menghubungi seorang pegawai polis dikenali sebagai ‘Datuk Wong’ untuk membuat rayuan.

“Datuk Wong meminta mangsa membuat laporan polis secara atas talian dan memindahkan wang di dalam akaun bank bagi tujuan pemantauan oleh pihak Bank Negara Malaysia.

“Pada jam 3.20 petang hari yang sama, mangsa memasukkan wang berjumlah RM40,000 ke dalam satu akaun yang diberikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian diminta memasukkan lagi wang sebanyak RM5,000, namun, mangsa enggan berbuat demikian.

“Lalu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam selepas mengesyaki dia ditipu,” katanya.

Berita Harian X