Isnin, 19 Ogos 2019 | 9:38pm
Nora Anne Quoirin.

Polis nafi bawa keluarga Nora Anne jumpa pengamal perubatan tradisional

SEREMBAN: Polis menafikan laporan media antarabangsa bahawa keluarga Nora Anne Quoirin, 15, dibawa berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional dalam usaha mengesan remaja Ireland itu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata dakwaan kononnya pihak polis berbuat demikian kerana pasukan SAR sudah kehabisan idea untuk mengesan remaja berkenaan adalah tidak benar.

“Tidak benar. Saya tidak pernah arahkan mana-mana pegawai untuk berbuat demikian,” katanya ringkas ketika dihubungi BH, hari ini.

Sebuah portal media antarabangsa melaporkan pihak polis membawa ahli keluarga Nora Anne untuk berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional kerana sudah kehabisan idea dalam usaha mengesan remaja Ireland itu.

Media itu melaporkan empat individu melakukan sesi berkomunikasi dengan makhluk halus supaya Nora Anne dipulangkan segera dan turut menjemput ibu bapa mangsa menghadiri upacara itu.

Ia dilaporkan upacara itu diadakan dalam tempoh 24 jam sebelum mayat Nora Anne ditemui, dan ahli keluarga mangsa turut dijemput menghadirinya.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai, di sini pada 4 Ogos lalu, sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR.

Mayatnya kemudian ditemui pada 13 Ogos.

Berita Harian X