Isnin, 19 Ogos 2019 | 9:04pm

Lelaki guna jaket hitam curi beg tangan pelanggan kedai emas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum mencuri beg tangan seorang wanita yang sedang sibuk melihat barang kemas dalam sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, mangsa dikatakan sedang berdiri melihat permata yang ditunjukkan oleh dua kakitangan di premis terbabit dan meletakkan beg tangannya di atas kerusi.

Suspek bercermin mata dan menggalas beg dilihat masuk ke kedai emas terbabit dan berpura-pura melihat sekeliling sebelum mengambil beg mangsa sambil menutupnya menggunakan jaket hitam yang dibawanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata mangsa hanya menyedari beg tangannya tiada di atas kerusi yang terletak di belakangnya itu, kira-kira jam 4.51 petang.

“Hasil semakan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai emas terbabit, kelihatan seorang lelaki datang dari arah pintu masuk kedai dan mencuri beg tangan mangsa berjenama Louis Vuitton itu.

“Ketika kejadian, mangsa sedang mendengar taklimat tentang permata oleh kakitangan kedai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan mangsa kerugian ribuan ringgit selepas beberapa barangan berharga serta dokumen penting antaranya lesen memandu, kad pengeluaran wang, jam tangan dan telefon bimbit lesap.

“Modus operandi suspek adalah dengan menggunakan jaket berwarna hitam dan menutup beg tangan mangsa sebelum membawa beg tangan berkenaan keluar dari kedai.

“Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, mangsa datang ke kedai emas berkenaan setelah menerima jemputan untuk mendengar taklimat berhubung set permata yang dianjurkan di situ.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X