Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:47pm

Gempar temui mayat wanita rentung

KENINGAU: Mayat seorang wanita dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh ditemui penduduk kampung di kawasan kebun di Batu 8, Jalan Keningau - Sook, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mayat yang dikenal pasti sebagai Sarah Israkil, 44, ditemui dalam keadaan terbakar di bawah sebuah pokok mangga oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke kebunnya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata ketika kejadian, saksi berusia 28 tahun itu dalam perjalanan menuju ke kebunnya dengan menaiki sebuah motosikal.

“Sebaik tiba di lokasi, saksi terkejut apabila melihat satu mayat terbakar di bawah pokok mangga sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu.

“Saksi juga menyatakan jarak lokasi kejadian dengan pondok kebunnya tidak jauh iaitu kira-kira 200 meter,” katanya dalam satu kenyataan media,, di sini hari ini.

Shahrudin ketika mengulas lanjut, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kawasan terpencil dan sunyi, selain dikelilingi belukar, namun tidak jauh dari jalan besar Keningau - Sook.

“Ada kesan pergelutan di tempat kejadian iaitu di laluan tidak berturap dan didapati mayat mangsa diseret sejauh kira-kira lima meter sehingga ke bawah pokok mangga itu untuk dibakar.

“Turut ditemui satu bekas gelen berwarna putih berbau bahan bakar disyaki digunakan suspek untuk membakar mangsa. Ia ditemui dibuang dalam kawasan semak berhampiran,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemui pisau sepanjang 28.5 sentimeter disyaki digunakan suspek untuk menikam mangsa, selain sebentuk cincin dipercayai milik mangsa.

“Keseluruhannya, enam kesan tikaman ditemui pada tubuh mangsa oleh pasukan forensik, masing-masing pada dada, bahu, punggung dan siku kanan, manakala ibu jarinya putus,” katanya.

Parson Pulalon dicari bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya. - Ihsan PDRM
Parson Pulalon dicari bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya. - Ihsan PDRM

“Hasil pemeriksaan juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan, manakala bahagian mukanya terbakar teruk,” katanya.

Beliau berkata, tiada laporan orang hilang diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dan tiada juga waris tampil menuntut mayat mangsa.

“Usaha sedang dipergiatkan bagi mengesan suspek. Malah, kita juga sedang mengesan suaminya yang dikenali sebagai Parson Pulalon, berusia dalam lingkungan 40-an untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Berita Harian X