Khamis, 15 Ogos 2019 | 5:07pm
RIZA Aziz
RIZA Aziz

Pendakwa AS mohon jualan rumah mewah dikaitkan dengan anak tiri Najib

KUALA LUMPUR: Pendakwa Amerika Syarikat (AS) memohon untuk menjual tiga rumah mewah dikaitkan dengan Riza Aziz, yang juga anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan dokumen mahkamah, ia adalah sebahagian usaha terbaru untuk mendapatkan semula dana kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.54 bilion) yang didakwa pihak berkuasa Malaysia dan AS diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sejak 2016, Jabatan Kehakiman AS sudah memfailkan tindakan undang-undang bagi menyita aset bernilai kira-kira AS$1.7 bilion (RM7.13 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB yang diseleweng, termasuk sebuah jet peribadi, hartanah mewah dan barang kemas.

AS sudah memulangkan sejumlah AS$200 juta (RM838 juta) yang diperoleh menerusi jualan aset yang dibekukan itu.

Semalam, pendakwa AS dan syarikat pengendali tiga hartanah mewah itu memfailkan petisyen di mahkamah California bagi membatalkan arahan penyitaan supaya aset berkenaan dapat dijual.

Menurut dokumen mahkamah, ia termasuk sebuah rumah di London bernilai 23.2 juta pound (RM117.3 juta), kediaman di Beverly Hills bernilai AS$17.5 juta (RM73.3 juta) dan sebuah kondominimum di New York bernilai AS$35.5 juta (RM146.77) yang didakwa dibeli Riza menggunakan dana diseleweng daripada 1MDB.

Pendakwa berkata Riza membeli kesemua hartanah itu daripada ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang kini berdepan tuduhan jenayah di Malaysia dan AS susulan peranannya sebagai dalang utama kes 1MDB.

Riza adalah pengasas bersama firma penerbitan Hollywood, Red Granite Pictures (Red Granite), yang terbabit dalam pembikinan filem ‘The Wolf of Wall Street’.

Pada 2017, Red Granite membayar AS$60 juta (RM251.6 juta) kepada kerajaan AS untuk menyelesaikan saman penyitaan ke atas hak terhadap tiga filem yang didakwa pembikinannya dibiaya menggunakan dana 1MDB.

Bulan lalu, Riza mengaku tidak bersalah di Malaysia atas lima pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan kira-kira AS$248 juta (RM1.03 bilion) dana milik 1MDB.

Pihak berkuasa dari sekurang-kurangnya enam negara sedang menyiasat pelbagai tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan 1MDB yang ditubuhkan pada 2009 oleh Najib.

Najib, yang tewas pada pilihan raya umum tahun lalu, berdepan 42 tuduhan jenayah dikaitkan dengan kerugian dialami 1MDB dan beberapa entiti kerajaan yang lain tetapi beliau terus menafikan sebarang salah laku. - Reuters

Berita Harian X