Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:58am

Lagi kes ditipu Macau Scam

KUANTAN: Seorang kerani di Cameron Highlands kerugian RM25,498 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa kad pengenalan wanita itu digunakan individu lain untuk membuat kad kredit, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula apabila mangsa berusia 39 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mangsa membuat transaksi kad kredit berjumlah RM6,000.

“Mangsa menafikan dakwaan itu, namun suspek mendakwa kad pengenalan mangsa mungkin disalah guna pihak lain,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek kononnya kakitangan Bank Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas itu, panggilan disambungkan pula kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari siasatan jenayah dan meminta nombor kad bank mangsa.

“Mangsa yang takut terus memberikan semua maklumat akaun banknya kepada suspek. Mangsa kemudian menerima tiga mesej transaksi berjumlah RM25,498 daripada akaun banknya ke akaun individu lain,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, lelaki berusia 57 tahun di Muadzam Shah, dekat Rompin kerugian RM22,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terbabit dengan kes penyeludupan dadah, semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa sebelum itu menerima satu panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mangsa ada membuat pinjaman RM70,000 daripada sebuah bank.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek bernama ‘Inspektor Imran’ yang memaklumkan kononnya mangsa terbabit dalam kes penyeludupan dadah.

“Suspek mengarahkan mangsa memindahkan sejumlah wang ke nombor akaun diberikan kononnya bagi tujuan siasatan. Mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM22,000 ke nombor akaun diberikan suspek sebelum menyedari dia menjadi mangsa sindiket itu,,” katanya.

Kedua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X