Selasa, 13 Ogos 2019 | 7:21pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini bagi menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan 19 Ogos. - Foto BERNAMA

Mahkamah Persekutuan tolak tangguh bicara 1MDB

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bermula pada 19 Ogos seperti ditetapkan sebelum ini.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, tidak terkhilaf dalam menolak penangguhan perbicaraan kes 1MDB.

“Mahkamah juga mendapati tidak ada alasan ataupun keperluan untuk memberikan arahan kepada Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan itu (untuk menangguhkan perbicaraan kes),” katanya.

Sehubungan itu, perbicaraan kes 1MDB yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’ akan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos ini dan kemudian bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November ini.

Turut bersidang, Hakim Tan Sri Azahar Mohamed; Datuk Seri David Wong Dak Wah; Datuk Rohana Yusof dan Tan Sri Idrus Harun.

Terdahulu pada awal prosiding, Peguam Negara, Tommy Thomas memaklumkan mahkamah, pihaknya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan penangguhan perbicaraan kes itu pada 5 Ogos lalu.

Thomas memberitahu mahkamah, setakat hari ini, perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dihadapi Najib sudah berada pada peringkat akhir dan pihak pendakwaan yakin kes itu dapat diselesaikan Jumaat ini.

Beliau berkata, pihaknya juga tiada bantahan untuk kes 1MDB bermula pada tarikh ditetapkan, namun ia harus dijalankan selepas pendakwaan menutup kes SRC.

“Bagaimanapun sekiranya terdapat pertembungan tarikh membabitkan kes SRC dan 1MDB, maka keutamaan harus diberikan kepada SRC memandangkan ia bermula dulu.

“Namun, kedua-dua pihak pihak mempunyai hak untuk menulis kepada Ketua Hakim Negara bagi mendapatkan arahan dari semasa ke semasa dan menetapkan pengurusan kes bagi kedua-dua kes,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berhujah anak guamnya tidak akan mendapat perbicaraan adil sekiranya kes 1MDB dan SRC dijalankan serentak.

“Najib mempunyai barisan pembelaan yang sama untuk kes 1MDB dan SRC, kami mempunyai waktu terhad untuk menyediakan kedua-dua kes.

“Hak tertuduh bagi mendapatkan perbicaraan adil termasuk untuk diwakili oleh barisan pembelaan yang cekap,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Najib turut gagal dalam cubaan kali ketiganya untuk membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

Berita Harian X